Sunday, July 19, 2009

KENALI AL – AZHAR KITA!!!

Mungkin ramai di kalangan kita yang punya keinginan dan cita-cita untuk melanjutkan pelajaran di universiti tertua di dunia ini atau sekadar melawatnya,tapi masih belum kesampaian . Walaubagaimana pun mungkin inisiatif ini,sedikit sebanyak mengubat rasa hati kita semua .

Berdasarkan catatan sejarah silam, Al-Azhar telah ditubuhkan oleh Khalifah Mu'iz Dinillah Ma'ad Bin Al-Mansur pada 6 Julai 969 Masihi pada zaman pemerintahan kerajaan Fathimiyyah. Pada masa yang sama, bandaraya Kaherah telah diisytiharkan sebagai ibu negara Mesir.Setahun selepas itu, kerja-kerja pembinaan Al-Azhar telah dimulakan oleh seorang panglima tentera bernama Jauhari As-Saqali iaitu pada 4 April 970 Masihi bersamaan 24 Jamadil Awal 359 Hijrah dan siap dibina pada 22 Jun 972 Masihi bersamaan 7 Ramadhan 361 Hujrah. Pembinaan masjid Al-Azhar ini telah mengambil masa selama 3 tahun dan pada tarikh tersebut juga lah solat jumaat pertama telah didirikan di sana .

Pada asalnya, Al-Azhar merupakan sebuah masjid yang ditubuhkan oleh Khalifah Fathimiyyah dan kemudiannya telah ditukarkan kepada sebuah Universiti Islam pertama di dunia oleh Khalifah Al-Aziz Billah setelah dicadangkan oleh wali kerajaan Abbasiah di Mesir bernama Ya'akub bin Kals pada tahun 378 Hijrah bersamaan tahun 988 Masihi .Bermula dari saat itu, Mesir telah disinari dengan kehadiran ulamak-ulamak daripada seluruh pelusuk dunia yang datang untuk menuntut ilmu .

Nama Al-Azhar diambil sempena nama puteri Rasulullah s.a.w. iaitu,Saidatina Fatimah Az-Zahra' yang memberi makna bersinar, berkilau dan bercahaya . Masjid ini juga dikenali sebagai Jami' Al-Azhar.

Peruntukan dana yang besar telah diperuntukkan bagi pembinaan universiti ini dengan pelbagai kemudahan dalam semua aspek pengajian .Pengumpulan dana telah dipelopori oleh Khalifah Al-Hakim bin Amrillah , kemudiannya diteruskan oleh khalifah-khalifah seterusnya disamping sumbangan orang-orang kaya tempatan dan juga dari seluruh negara Islam . Percaya atau tidak,sehingga kini diberitakan bahawa kekayaan Al-Azhar mencecah satu pertiga atau lebih kekayaan kerajaan Mesir . Penuntut – penuntutnya tidak perlu mengeluarkan kos pengajian yang tinggi dan perlu menyediakan kos pembelian kitab dan sara diri sahaja .Di samping itu, Al-Azhar turut memberi zakat berupa makanan ruji seperti beras dan makaroni kepada penuntutnya .

Ketika zaman pemerintahan Sultan AN-Nasir pada tahun 1303 Masihi,telah berlaku gempa bumi yang kuat sehingga merosakkan dan memusnahkan sebahagian masjid dan universiti ini. Pembaikian telah dilaksanakan namun terdapat banyak perubahan dan perbezaan dari segi seni binanya kerana ia dilakukan pada zaman yang berbeza. Semasa pemerintahan Sultan Quaitbay,beliau telah membina sebuah menara yang terletak di sebelah kiri pintu gerbang.

Keunikan masjid Al-Azhar ini semakin terserlah semasa zaman pemerintahan Sultan dan pemerintah Mesir yang seterusnya dengan terdirinya beberapa menara lain seperti 'Manaratul Azhar Zatu Ar-Rasain' yang terletak di sebelah kanan pintu gerbang, yang mana ia mempunyai dua puncak dan satu menara yang dibina pada zaman pemerintahan kerajaan Othmaniah. Mihrab dan mimbar turut digantikan di samping membina penginapan bagi mahasiswa,ruang tamu dan tangki air untuk berwudhu' .Masjid ini mempunyai lima buah menara yang berbagai bentuk serta mempunyai 13 mihrab dan terdapat juga sebuah perpustakaan yang sangat besar di sana .

Pada tahun 1961 Masihi,Masjid ini telah berubah fungsinya kepada sebuah universiti moden yang mempunyai pelbagai fakulti seperti perubatan dan fakulti-fakulti yang lebih profesional sedangkan dulunya hanya terdapat tiga jurusan sahaja iaitu bahasa,syariah dan usuluddin .

Setiap pimpinannya digelar Syeikh Jami' Al-Azhar bermula dengan Syeikh Al-Azhar I ,Syeikh Muhammad Al- Quraisy sehingga sekarang Syeikh Al-Azhar yang ke-40 iaitu Dr Mohammed Syed Al-Tontowi .